ad
AGENDA

Dua wanita ditahan, proses ubat tiruan di makmal

16 Jun 2023, 7:00 AM
Dua wanita ditahan, proses ubat tiruan di makmal

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Dua wanita dan seorang lelaki ditahan dalam operasi ke atas sebuah makmal memproses ubat-ubatan tiruan di Taiping, Perak, Selasa lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin berkata hasil pemeriksaan menemui peralatan pemprosesan dan ubat-ubatan yang disyaki tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Semua peralatan pemprosesan dan ubat-ubatan tersebut yang dianggarkan berjumlah RM6.4 juta dirampas dan kes disiasat di bawah Peraturan 7(1)(A) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1982,” katanya dalam kenyataan semalam.

Operasi berkenaan dilaksanakan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) serta KKM.

Noorsiah berkata sepanjang 2022, WCB/PSK telah melaksanakan dua serbuan dengan nilai rampasan RM3.4 juta dan bagi tempoh 1 Januari hingga hari ini, lapan serbuan dilakukan dengan nilai rampasan RM12.8 juta.

Beliau berkata PDRM khususnya JKDNKA komited membantu kementerian serta agensi kerajaan dalam menangani pelbagai isu ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat.

“Operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa yang lain akan diteruskan dari semasa ke semasa. Penglibatan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat amat digalakkan agar jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.