PETALING JAYA, 25 JAN: Operasi merobohkan rumah ibadat yang dibina secara haram di kawasan Petaling Jaya dibuat selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS).
Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata perobohan yang dilaksana itu turut melibatkan beberapa agensi termasuk pejabat tanah dan daerah.
“Sejurus binaan haram dikesan, kita akan hantar laporan kepada LIMAS sebelum sebarang tindakan diambil. Binaan kecil atau besar kita bawa kepada LIMAS supaya apabila tindakan diambil ia mengikut keputusan yang diputuskan jawatankuasa tersebut dan ia merupakan pendirian Kerajaan Negeri.
“Buat masa ini, kita memang ada mengesan rumah ibadat yang dibina atas tanah perkuburan Islam. Untuk ini, LIMAS telah putuskan untuk tindakan perobohan dan kita akan laksana bersama pejabat tanah dan daerah,” katanya hari ini.
Ditemui pada majlis pelantikan ahli majlis kanak-kanak Petaling Jaya 2026/2027, beliau menegaskan supaya semua pihak perlu memberi kerjasama serta tidak membantah tindakan yang diputuskan.
Pada 20 Januari, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkata pihaknya menetapkan menetapkan 31 Mac ini sebagai tarikh akhir pengosongan Tanah Warta Perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya, susulan pencerobohan yang tular di media sosial.
Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad menegaskan tanah berkenaan bukan tanah wakaf seperti didakwa, sebaliknya tanah perkuburan Islam yang telah diwartakan dan berada di bawah bidang kuasa JAIS.
Menurutnya, tindakan pemutihan tapak telah pun dimulakan menerusi kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling Jaya, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi penguat kuasa berkaitan.
Beliau menegaskan, PDT Petaling Jaya bersama JAIS akan mengetuai operasi penguatkuasaan sekiranya arahan pengosongan tidak dipatuhi.
Tahun lalu, ketika sambutan Hari Deepavali, EXCO Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidu mengingatkan mana-mana pihak berhenti membina kuil secara haram kerana Kerajaan Negeri sudah banyak meluluskan pembinaannya,
Katanya, Kerajaan Negeri juga sentiasa membantu menyalurkan pelbagai bantuan kepada kuil-kuil bagi memastikan setiap rumah ibadat dapat diselenggara dan melaksanakan aktiviti keagamaan dengan baik.
“Kerajaan Negeri telah banyak meluluskan pembinaan kuil serta menyalurkan peruntukan kepada rumah ibadat sedia ada. Selangor sudah banyak kuil, tidak perlu lagi bina secara haram kerana kerajaan sudah luluskan banyak.
“Contohnya peniaga buat kuil kecil untuk menjaga perniagaan atas tanah kerajaan atau jabatan. Kita sepatutnya menjaga kuil, bukan sebaliknya. Saya mohon jangan ulangi. Tidak perlu bina kuil lagi secara haram atas tanah kerajaan,” katanya.


