PETALING JAYA, 14 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam meningkatkan kualiti amalan perancangan bandar.
Datuk Bandarnya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata kerjasama tersebut turut memperkasa peranan profesional perancang bandar sebagai pemimpin strategik dalam pengurusan bandar yang mampan.
“Melalui MoU, MBPJ dan MIP akan memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, latihan, pembangunan kapasiti profesional, advokasi serta pelaksanaan projek perintis yang memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti perancangan bandar.
“Kerjasama ini dijangka menyumbang kepada pembangunan bandar yang lebih mampan dan berdaya tahan, selaras dengan keperluan semasa serta cabaran pembangunan bandar yang semakin kompleks,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Mohamad Zahri bersama Presiden MIP Mazrina Abdul Khalid menyempurnakan pemeteraian MoU tersebut pada sesi perkongsian bertajuk “Town Planner as City Manager: Beyond Compliance Towards City Leadership from Plan Submission to Strategic Urban Advisory” di sini, hari ini.
Menurut Mohamad Zahri, inisiatif kerjasama itu juga selari dengan aspirasi MBPJ untuk terus memperkukuh kedudukan Petaling Jaya sebagai bandar yang progresif dan berdaya saing.
Beliau berkata, landskap pembangunan bandar masa kini turut berdepan pelbagai cabaran termasuk kepadatan pembangunan, perubahan iklim serta tuntutan terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Selain itu, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), sistem geospatial dan analitik data turut mengubah pendekatan dalam perancangan bandar.
“Ia sekali gus menjadikan data sebagai komponen strategik dalam proses membuat keputusan pembangunan bandar.
“Sehubungan itu, profesion perancang bandar perlu berkembang daripada peranan tradisional sebagai penyedia dokumen pelan kepada penasihat strategik bandar yang mampu mentafsir data,” jelasnya.







