JPJ Selangor nafi iklan tawar lesen memandu percuma tanpa ujian

25 Jan 2026, 9:13 AM
JPJ Selangor nafi iklan tawar lesen memandu percuma tanpa ujian

SHAH ALAM, 25 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menafikan penularan iklan dan hebahan di media sosial yang mendakwa orang awam boleh memperoleh lesen memandu secara percuma tanpa perlu melalui ujian yang sah.

JPJ Selangor menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan menegaskan iklan tersebut adalah maklumat palsu serta mengelirukan, selain mengandungi unsur penipuan bagi memperdaya orang ramai.

“Hasil siasatan awal mendapati iklan berkenaan menggunakan gambar Pengarah JPJ Selangor tanpa kebenaran, sekali gus menimbulkan kekeliruan kepada orang awam dan menjejaskan kredibiliti jabatan,” menurut kenyataan itu di Facebook.

Sehubungan itu, JPJ Selangor mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran atau maklumat berkaitan pemberian lesen memandu secara percuma tanpa melalui ujian yang sah.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa membuat semakan melalui saluran rasmi JPJ bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” tegas kenyataan itu.