SHAH ALAM, 24 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Pesta Bumi Kecil PJ sebagai inisiatif pendidikan alam sekitar bagi kanak-kanak untuk menyemai kesedaran serta amalan lestari sejak usia awal.
Datuk Bandarnya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata inisiatif itu bertujuan membentuk generasi yang sedar, prihatin dan bertanggungjawab terhadap kelestarian bumi.
“Pendidikan alam sekitar sejak usia awal bukan sekadar pembelajaran, tetapi pelaburan masa depan. Menerusi pesta ini, kanak-kanak mempamerkan hasil pembelajaran mereka melalui pameran seni selain berkongsi kefahaman dan idea berkaitan kelestarian bumi.
“Pelaksanaan inisiatif ini mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri termasuk beberapa jabatan antaranya Jabatan Perhutanan Selangor serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berharap inisiatif tersebut dapat dijadikan rujukan pendidikan alam sekitar peringkat awal dan diperluaskan pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh peranan MBPJ sebagai peneraju komuniti lestari.
Pesta ini merupakan sebahagian daripada program Adiwira Cilik Bumi PJ yang dilaksanakan selama enam bulan dengan penglibatan 122 murid berusia empat hingga enam tahun, dengan sokongan rakan pelaksana utama, Eco Lestari Strategy.


