PCSB, Daikin Malaysia meterai MoU pembangunan projek Rumah Idaman

24 Jan 2026, 8:38 AM
PCSB, Daikin Malaysia meterai MoU pembangunan projek Rumah Idaman

SHAH ALAM, 24 JAN: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menerusi anak syarikatnya, PNSB Construction Sdn Bhd (PCSB) memeterai memorandum persefahaman bersama Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd bagi meneroka kerjasama strategik dalam pembangunan projek Rumah Idaman.

Pemeteraian yang berlangsung minggu lalu itu bertujuan meneroka penyediaan penyelesaian sistem dan teknologi bagi menyokong pelaksanaan projek perumahan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata kerjasama tersebut mencerminkan komitmen PNSB dalam memperkukuh pembangunan perumahan mampan melalui penerapan teknologi serta kepakaran rakan strategik bertaraf global.

“Dengan kerjasama ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk mewujudkan rangka kerja kerjasama strategik bagi meneroka dan menilai peluang berkaitan pembekalan, pemasangan serta pelaksanaan produk dan sistem Daikin bagi projek perumahan Rumah Idaman pada masa hadapan.

“Skop kerjasama merangkumi perbincangan teknikal, demonstrasi produk serta sokongan kepakaran bagi memastikan kesesuaian dan integrasi sistem yang dicadangkan,” katanya dalam kenyataan.

Majlis pemeteraian itu menyaksikan Raja Ahmad Shahrir Iskandar mewakili PNSB, manakala Daikin Malaysia diwakili Pengarah Urusannya, Lawrence Song Yew Beng.