Selangor tingkat usaha tangani keganasan berasaskan gender

8 Mac 2026, 5:38 AM
Selangor tingkat usaha tangani keganasan berasaskan gender

SHAH ALAM, 8 MAC: Selangor bertekad mengambil pendekatan menyeluruh bagi menangani keganasan berasaskan gender, susulan negeri itu mencatat jumlah kes rogol tertinggi di Malaysia.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata tindakan itu termasuk memperkukuh pencegahan, penguatkuasaan serta sistem sokongan kepada mangsa.

“Terlalu banyak kes rogol. Saya merakamkan simpati dan solidariti kepada semua mangsa. Kerajaan Selangor kekal komited memperkukuh usaha menangani keganasan berasaskan gender dan memastikan sistem sokongan kepada mangsa terus dipertingkatkan,” katanya kepada Media Selangor baru-baru ini.

Pada 24 Februari, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Selangor mencatat jumlah kes rogol tertinggi di negara ini antara 2015 hingga 2025.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, beliau berkata polis menyiasat sebanyak 17,609 kes rogol di seluruh negara sepanjang tempoh 11 tahun itu, dengan purata lebih empat kes sehari.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 sempena penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,090 kes didakwa di mahkamah. Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 3,392 kes, dengan 1,575 daripadanya dibawa ke mahkamah.

Anfaal berkata jumlah kes yang tinggi di Selangor berkait rapat dengan saiz populasi negeri itu, dan analisis lebih mendalam diperlukan bagi memberikan gambaran sebenar situasi.

“Selangor merupakan negeri paling ramai penduduk di Malaysia. Berdasarkan angka yang ada, Selangor merekodkan kira-kira 5.1 kes bagi setiap 100,000 penduduk setahun, berbanding purata kebangsaan sekitar 5.3 kes bagi setiap 100,000 penduduk setahun,” katanya.

Usaha pencegahan

Mengulas mengenai pendidikan pencegahan, Anfaal berkata program berkaitan kesedaran penderaan seksual di sekolah berada bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM) dan polis.

Namun katanya, bagi kes melibatkan kanak-kanak, mekanisme sokongan akan melibatkan pelindung kanak-kanak bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kaunselor serta agensi lain bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa terjamin.

“Di peringkat negeri, kami bersedia bekerjasama dan menyokong inisiatif kesedaran serta advokasi yang diterajui agensi persekutuan dan rakan strategik,” katanya.

Bagi memperkukuh usaha pencegahan, Anfaal berkata Kerajaan Negeri turut melancarkan Kempen Menentang Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak bawah Wanita Berdaya Selangor (WBS).

Kempen itu pada awalnya diadakan sempena 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender, iaitu kempen kesedaran global tahunan, sebelum diperluaskan menjadi program tahunan bermula 2025.

“Pada 2026, program ini akan dilaksanakan melalui jelajah Wanita Selangor melibatkan lima lokasi dengan sasaran 5,000 peserta di seluruh Selangor,” katanya.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berucap ketika Program Advokasi Perkhidmatan Taska dan Sambutan Hari Taska Selangor 2025 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 19 Ogos 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata program itu turut digabungkan dengan inisiatif pemerkasaan wanita seperti Program Career Comeback yang dilaksanakan bersama Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut Anfaal, Selangor juga melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak — Kasih Kanak-Kanak (inisiatif mentor rakan sebaya) dengan kerjasama JKM, polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakan strategik lain.

Program itu merangkumi modul kesedaran keganasan berasaskan gender, keselamatan digital serta mekanisme pelaporan, selain memperkasa mentor rakan sebaya untuk bertindak sebagai ejen advokasi awal dan sokongan barisan hadapan dalam komuniti.

Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri memperkenalkan langkah keselamatan persekitaran seperti menambah baik pencahayaan di kawasan laluan pejalan kaki.

Tanggungjawab bersama

Anfaal menegaskan usaha menangani keganasan seksual memerlukan kerjasama kukuh seluruh masyarakat.

“Menangani keganasan seksual memerlukan pendekatan menyeluruh di Selangor. Ia memerlukan keluarga yang peka, jiran yang prihatin dan komuniti yang berani melaporkan kesalahan seksual.

“Ia juga memerlukan pendidikan moral dan agama yang kukuh, penguatkuasaan tegas serta sistem sokongan menyeluruh kepada mangsa,” katanya.

Tambahnya, Selangor akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi persekutuan, NGO, pemimpin komuniti serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan negeri itu kekal selamat dan sejahtera untuk wanita dan kanak-kanak.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.