Tujuh taska di Selangor digantung susulan pelanggaran undang-undang

22 Jan 2026, 1:00 PM
Tujuh taska di Selangor digantung susulan pelanggaran undang-undang

SHAH ALAM, 22 JAN: Sebanyak tujuh premis taska di Selangor dikenakan tindakan penguatkuasaan (LAK) tahun lalu susulan kegagalan mematuhi peruntukan di bawah Akta serta peraturan berkaitan pengoperasian pusat jagaan kanak-kanak.

EXCO Kebajikan, Anfaal Saari, berkata tindakan itu melibatkan langkah undang-undang sedia ada, termasuk penggantungan atau penarikan balik kebenaran operasi premis.

“Tindakan penggantungan dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sekiranya kelulusan JKM tidak diberikan, premis berkenaan tidak dibenarkan beroperasi walaupun memiliki lesen perniagaan yang sah,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, tindakan berkenaan diambil hasil pemeriksaan dan pemantauan berterusan oleh agensi berkaitan bagi memastikan semua pusat jagaan kanak-kanak beroperasi mengikut piawaian yang ditetapkan.

"Kerajaan Negeri memandang serius pematuhan undang-undang oleh pengusaha taska, khususnya melibatkan pematuhan pengoperasian dan tadbir urus pusat jagaan," katanya.

Beliau menegaskan pendekatan penguatkuasaan dijalankan secara berperingkat dan berlandaskan undang-undang, tanpa kompromi terhadap premis yang gagal mematuhi syarat ditetapkan.

“Seiring itu, Kerajaan Negeri sentiasa melaksanakan pemutihan taska dan tadika bagi memastikan semua premis beroperasi secara sah, berdaftar, serta mematuhi peraturan dan syarat pelesenan pihak berkuasa,” jelasnya.

Langkah ini turut disokong melalui sesi libat urus bersama pengusaha taska untuk memberi penjelasan mengenai pematuhan undang-undang, prosedur pelesenan, dan tanggungjawab pengurusan pusat jagaan kanak-kanak.

“Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM400,000 bagi Geran Pusat Jagaan (GPJ), dengan setiap premis berhak menerima sehingga RM5,000 bagi menampung kos pematuhan dan proses pendaftaran, sebagai usaha berterusan memastikan operasi pusat jagaan sah dan teratur,” ujarnya.

Semalam, tular video seorang kanak-kanak autisme dikurung dalam keadaan bogel di sebuah pusat jagaan, sekali gus menimbulkan kecaman meluas di media sosial.

Berikutan itu, EXCO Kebajikan, Anfaal Saari, menasihati semua pengusaha tadika swasta supaya mematuhi sepenuhnya syarat ditetapkan, termasuk pendaftaran dengan agensi berkaitan, serta mengambil tenaga kerja yang berkemahiran khusus dalam menjaga kanak-kanak OKU.