50 ahli majlis sertai Akademi Kepimpinan Wanita Selangor, usaha perkukuh kemahiran

24 Jan 2026, 4:34 AM
50 ahli majlis sertai Akademi Kepimpinan Wanita Selangor, usaha perkukuh kemahiran
50 ahli majlis sertai Akademi Kepimpinan Wanita Selangor, usaha perkukuh kemahiran

HULU LANGAT, 24 JAN: 50 ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) kini menyertai edisi khas Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) Selangor dalam usaha memperkukuh kepimpinan wanita di peringkat kerajaan tempatan.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata AKW Edisi Khas Ahli Majlis bertujuan memperkukuh kemahiran kepimpinan dan melahirkan pemimpin wanita berkompetensi tinggi yang bersedia mengisi jawatan strategik di Selangor dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.

Katanya, 50 peserta daripada 12 PBT Selangor serta beberapa PBT luar Selangor itu terlibat dalam AKW menerusi tiga siri bengkel dalam tempoh dua bulan merangkumi latihan kepimpinan, perbincangan interaktif serta perkongsian bersama tokoh dan pakar tadbir urus.

“Bengkel siri pertama memberi penekanan kepada kemahiran komunikasi, keterampilan kepimpinan serta pemahaman fungsi Ahli Majlis, diikuti siri kedua yang menumpukan kefahaman gender dan pelaksanaan belanjawan responsif gender.

“Siri ketiga pula memfokuskan aspek pentadbiran kerajaan tempatan bagi memperkukuh kefahaman terhadap struktur dan mekanisme pentadbiran yang berkesan.

“Penekanan turut diberikan kepada pembangunan kapasiti kepimpinan strategik, tadbir urus responsif gender, proses pembuatan dasar serta peranan ahli majlis dalam merancang pembangunan komuniti yang inklusif dan mampan,” katanya ditemui selepas menyempurnakan pelancaran AKW Edisi Khas Ahli Majlis di sini, hari ini.

Katanya, sejak diperkenal pada 2020 seramai 345 graduan telah dilahirkan menerusi empat kohort pelaksanaan.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 5 Nooraimi Hani Ahmad Suhaimi berkata program berkenaan diyakini mampu memberi nilai tambah kepada kepimpinan Ahli Majlis wanita sekaligus membantu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan PBT kepada rakyat.

Nooraimi Hani Ahmad Suhaimi

“Saya merupakan alumni kohort pertama AKW, ia mengajar kita banyak perkara baharu terutama berkaitan ketrampilan diri sebagai pemimpin antaranya gaya percakapan dan berinteraksi yang akan membantu kita berurusan dengan orang awam,” katanya.

Bagi Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Zon 14 Yogeswari Samynathan penyertaannya dalam AKW edisi khas itu diharap dapat meningkatkan keupayaan kepimpinan serta memperkukuh peranan beliau dalam menyantuni keperluan masyarakat setempat.

Yogeswari Samynathan

“Penyertaan dalam program ini memberi peluang untuk menambah ilmu, berkongsi pengalaman serta memahami dengan lebih mendalam aspek tadbir urus dan pembuatan dasar di peringkat kerajaan tempatan.

“Program ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran kepimpinan, malah membantu Ahli Majlis wanita meningkatkan keyakinan dan kecekapan dalam melaksanakan tugas, khususnya dalam menangani isu komuniti dan pembangunan setempat,” katanya.

Selangor melaksanakan AKW sejak 2020 sebagai ‘saluran bakat’ ke arah melahirkan lebih ramai pemimpin wanita di lapangan politik serta kerja sosial.

Empat modul utama pembelajaran ialah kemahiran insaniah dan organisasi, kefahaman gender, kepimpinan politik dan ekonomi serta kemahiran komunikasi.