SHAH ALAM, 24 JAN: Sepasang suami isteri rentung selepas rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Lausan, Batu 4, Kudat, Sabah, malam tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa, warga emas lelaki berusia 74 tahun dan isterinya 73 tahun ditemui dalam bilik tidur rumah berkenaan, lapor Berita Harian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.58 malam sebelum 10 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira enam kilometer.
"Pasukan kita tiba di lokasi pada jam 12.36 tengah malam dan mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal dua tingkat terbakar 100 peratus.
"Operasi memadam kebakaran berdepan kesukaran berikutan laluan sempit termasuk sebuah jambatan kecil serta kedudukan wayar elektrik rendah yang menghalang pergerakan jentera bomba ke lokasi kejadian," katanya
Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 1.30 pagi, dengan mangsa pertama dikeluarkan pada jam 2 pagi, manakala mangsa kedua dikeluarkan kira-kira jam 3.50 pagi.
Katanya, kedua-dua mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.47 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan tiada lagi bahaya lain dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.


