SHAH ALAM, 23 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM2.2 juta daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor menerusi skim potongan gaji.
Ketua pegawai eksekutifnya Mohd Khaidzir Shahari berkata sasaran itu lebih tinggi berbanding RM1.03 juta direkodkan tahun lalu, melibatkan kutipan 2,736 anggota memandangkan masih terdapat lebih 10,000 anggota belum berbuat demikian.
“Skim ini berpotensi sebagai mekanisme paling berkesan untuk memastikan pembayaran zakat dibuat secara automatik dan berterusan.
“Sekiranya setiap seorang menyumbang RM10 sebulan, sasaran RM2.2 juta setahun bukan sesuatu yang mustahil. Ini bukan sekadar soal angka tapi kekuatan zakat sebagai sistem perlindungan sosial yang menyantuni kebajikan anggota dan golongan asnaf,” katanya.
Terdahulu beliau menyertai program taklimat khas LZS bersama polis Kontinjen Selangor - Anda Hero Asnaf yang dirasmikan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Datuk Kahar, di sini hari ini.
Bagi mencapai sasaran terbabit, Mohd Khaidzir berkata kempen ‘Anda Hero Asnaf, Ayuh Berzakat Sang Saka Biru’ dilancarkan, yang menawarkan bayaran RM10 (Wira Prihatin) atau RM50 (Wira Harapan) sebulan.
“Anggota yang menyertainya layak menikmati pelbagai keistimewaan termasuk manfaat Siddik dan Khairat, cenderamata eksklusif LZS, cabutan bertuah tahunan keahlian Muzakki Circle serta rebat cukai 100 peratus,” katanya.



