AMPANG, 24 JAN: Kerajaan Selangor memberi jaminan bekalan bahan mentah di negeri ini mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat menjelang Ramadan serta musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memantau tahap bekalan dan memastikan ia kekal mencukupi untuk keperluan harian rakyat.
“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak boleh berasa terlalu selesa walaupun bekalan kini terkawal, sebaliknya perlu mengambil pengajaran daripada pengalaman semasa pandemik COVID-19.
“Semasa pertemuan dengan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Baginda turut menyuarakan kebimbangan mengenai isu bekalan makanan yang sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri,” katanya kepada Media Selangor.

Sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan krisis bekalan, Izham memaklumkan Kerajaan Negeri turut menggerakkan Gudang Makanan Selangor (GMS) yang menyimpan stok penting seperti daging, ayam dan beras.
Menurutnya, langkah tersebut merupakan usaha proaktif bagi memastikan kestabilan bekalan makanan, khususnya ketika permintaan meningkat semasa musim perayaan.
Pada 22 Mac 2025, kerajaan Selangor melancarkan GMS di Pelabuhan Klang yang menempatkan 5,000 tan beras dan 1,000 tan daging sejuk beku, mencukupi keperluan kira-kira 20 peratus penduduk negeri ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Selangor menjadi negeri pertama yang mewujudkan simpanan bekalan makanan strategik dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM50 juta.


