KPDN lancar OPS Pantau 2026, amaran tegas kepada peniaga catu dan naik harga

15 Feb 2026, 8:30 AM
KPDN lancar OPS Pantau 2026, amaran tegas kepada peniaga catu dan naik harga

PUTRAJAYA, 15 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan OPS Pantau 2026 bermula 19 Februari hingga 20 Mac ini bagi memastikan bekalan dan harga barangan terkawal menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata operasi itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan lebih kerap terhadap bekalan serta harga barangan keperluan seperti gula, ayam, telur, minyak masak, tepung gandum, barangan basah dan bahan membuat kuih-muih.

“Menjelang bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, KPDN akan melaksanakan OPS Pantau bermula 19 Februari hingga 20 Mac 2026, iaitu sepanjang tempoh bulan Ramadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pegawai penguat kuasa akan ditempatkan di lokasi strategik termasuk bazar Ramadan dan Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, pasar raya, kedai runcit serta platform jualan dalam talian bagi melaksanakan pemeriksaan dan penguatkuasaan.

“Mana-mana peniaga yang didapati melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723),” katanya.

Beliau berkata antara kesalahan yang diberi perhatian termasuk gagal meletakkan tanda harga, menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum serta tidak mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

Untuk rekod, sebanyak 70,906 pemeriksaan dilaksanakan di seluruh negara dalam OPS Pantau 2025, menghasilkan 390 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM42,878.52.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan ketidakpatuhan melalui WhatsApp 019-848 8000, Call Centre 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my

atau aplikasi Ez ADU KPDN.

Apa reaksi anda?