SHAH ALAM, 15 JAN: Bukit Tagar di Hulu Selangor yang dicadangkan Kerajaan Negeri sebagai pusat penternakan babi secara moden merupakan kawasan pelupusan sisa (landfill) dan tidak berpenghuni.
EXCO Infrastruktur dan Pertanian, Dato' Ir Izham Hashim berkata pemilihan lokasi itu tidak melibatkan sebarang penempatan penduduk, sekali gus menepis dakwaan cadangan tersebut menyentuh sensitiviti kaum seperti dibangkitkan sesetengah pihak.
"Kawasan Bukit Tagar ini adalah kawasan pengumpulan sampah (Landfill), jangan kata orang Melayu, makhluk lain pun tak sanggup tinggal di kawasan tersebut.
"Di kawasan itulah Kerajaan Negeri mencadangkan untuk dibina pusat penternakan babi secara moden, berteknologi tinggi dan mesra alam.
"Tidak timbul di situ kawasan orang Melayu atau kaum lain sedangkan tiada penempatan di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Izham menjelaskan, cadangan berkenaan sudah dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan baginda memahami rasional pemilihan lokasi tersebut.
"Saya telah sembah maklum kepada Tuanku Sultan Selangor dan baginda amat memahami perkara tersebut.
"Baginda Tuanku juga amat memahami menjadi keperluan untuk negeri menyediakan sumber makanan kepada bukan Islam memandangkan negeri ini merupakan negeri berbilang kaum," katanya.
Beliau berkata, sidang media pada 8 Januari bertujuan memaklumkan langkah diambil Kerajaan Negeri bagi menangani isu pencemaran bau daripada ladang babi yang menghantui penduduk di Tanjong Sepat dan Kuala Langat sejak puluhan tahun lalu.
"Ini selepas Kerajaan Negeri bersetuju untuk memindahkan keseluruhan 116 ladang babi di Tanjong Sepat dan Kuala Langat ke satu kawasan berpusat di Bukit Tagar.
"Ini yang ramai terlepas pandang, Kerajaan Negeri cuba menyelesaikan masalah rakyat di kawasan itu, bukan menambah lagi masalah," katanya.
Pada masa sama, beliau berharap agar isu berkenaan dapat dinilai secara adil dan rasional, tanpa dipengaruhi emosi atau sentimen.
"Apa yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri adalah penyelesaian jangka panjang demi kesihatan, kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar, selari dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
"Saya akan terus melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab, berpegang kepada prinsip tadbir urus yang baik serta menghormati titah dan kebijaksanaan baginda Tuanku," katanya.
Isu ladang babi menjadi tumpuan ramai selepas Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan Kerajaan Negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Susulan pertemuan Sultan Selangor dengan Izham pada 12 Januari lalu, beberapa penambahbaikan dilakukan termasuk mempercepatkan pemindahan ladang ternakan ke Bukit Tagar pada tahun ini dan tiada dana awam digunakan dalam urusan berkaitan dengannya.


