Ternakan babi moden di Bukit Tagar untuk kawal wabak ASF

17 Jan 2026, 1:42 AM
Ternakan babi moden di Bukit Tagar untuk kawal wabak ASF
Ternakan babi moden di Bukit Tagar untuk kawal wabak ASF

SHAH ALAM, 17 JAN: Pelaksanaan penternakan babi secara moden di Bukit Tagar bertujuan mencegah penularan penyakit berjangkit, termasuk African Swine Fever (ASF) yang merebak di peringkat global sejak Februari tahun lalu.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata, Selangor turut terkesan dengan wabak ASF yang disifatkan sebagai penyakit berjangkit serius melibatkan ternakan babi dan boleh menyebabkan kematian dalam tempoh tiga hingga lima hari.

“ASF mudah merebak. Jika seekor babi disahkan positif, ia akan memberi kesan kepada keseluruhan ternakan di ladang tersebut.

“Proses pembersihan ladang mengambil masa sehingga 40 hari dan selepas tempoh itu kemasukan ternakan baharu dihadkan kepada 10 ekor sahaja bagi tujuan pemantauan dan kawalan penyakit,” katanya.

Bercakap di podcast Jangan Pajak Otak, Izham memberitahu hanya 37 ladang di Selangor dikenal pasti kekal negatif dari serangan wabak berkenaan manakala selebihnya terpaksa melalui proses pembersihan dan kawalan ketat oleh Jabatan Veterinar.

“Langkah ini penting untuk memastikan wabak benar-benar dapat dikawal sebelum operasi ladang dibenarkan berjalan seperti biasa,” katanya lagi.

Beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah mendapatkan maklum balas dan pandangan dari pihak peladang untuk pembangunan penternakan babi kawasan Bukit Tagar, selain mencapai persetujuan bersama pelabur dan penternak berhubung pelaksanaan model penternakan moden.

“Apabila saya sembah perkara ini kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, tuanku juga bersetuju projek dilaksanakan di kawasan itu.

“Ini kerana Bukit Tagar memang jauh dari penduduk, dan melalui penggunaan kaedah moden, projek akan memastikan pencemaran bau tidak akan berlaku,” ujarnya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan keputusan memindahkan ladang babi di Kuala Langat ke Bukit Tagar adalah untuk menamatkan penternakan cara tradisional kepada cara moden.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan menyeluruh dengan penternak untuk menjelaskan proses pemindahan ladang, syarat pematuhan, langkah keselamatan dan kesan terhadap operasi harian mereka.