JAKARTA, 23 JAN: Selangor Red Giants (SRG) masih dilihat pilihan utama untuk menjuarai Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M7 meskipun terpaksa meneruskan saingan di lower bracket selepas tewas kepada Aurora PH, semalam.
Pemain profesional MLBB Indonesia, Gilang Sanz berkata wakil Malaysia itu memiliki ramuan lengkap untuk muncul juara berdasarkan prestasi konsisten dipamerkan sepanjang kejohanan berkenaan yang berlangsung di Stadium Tenis Tertutup Istora Senayan di sini.
“Pada pandangan saya, SRG memang calon utama untuk menjuarai M7. Prestasi mereka sepanjang kejohanan ini sangat hebat.
“Malah komunikasi dan keserasian antara pemain juga sangat baik, selain memiliki kumpulan hero yang ramai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu, bekas pemain profesional MLBB negara, Muhammad Faris Zakaria atau mesra disapa Soloz, turut senada dengan pandangan tersebut dan percaya SRG masih berpeluang besar untuk melangkah ke Grand Final sekali gus menjadi pasukan pertama dari Malaysia menjuarai kejohanan berkenaan.
“Walaupun kalah kepada Aurora PH, mereka masih mempunyai satu lagi peluang dan berupaya untuk bangkit semula.
“Gunakan masa yang ada untuk kembali fokus pada aksi seterusnya, jangan terlalu fikir apa berlaku sebelum ini,” katanya.
SRG dijadualkan turun pada aksi lower bracket final esok bagi memburu peluang mara ke saingan akhir Kejohanan Dunia M7.
Untuk rekod, pencapaian terbaik SRG di kejohanan itu adalah pada edisi lepas apabila menamatkan saingan di kedudukan ketiga.


