Selangor komited perkasa rantaian bekalan makanan halal - EXCO

23 Jan 2026, 7:09 AM
Selangor komited perkasa rantaian bekalan makanan halal - EXCO

AMPANG, 23 JAN: Kerajaan Selangor komited memperkukuh rantaian bekalan makanan halal bagi memastikan bekalan berkualiti dan harga berpatutan kepada rakyat.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata, usaha tersebut melibatkan pendekatan menyeluruh merangkumi aspek pengeluaran, pengedaran dan pemasaran makanan halal.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan bekalan makanan halal dapat disalurkan secara konsisten kepada pengguna di negeri ini.

“Usaha ini bukan sahaja bertujuan menjamin kualiti dan status halal produk makanan malah memastikan harga yang ditawarkan kekal berpatutan demi kesejahteraan serta keperluan harian rakyat.

“Kerajaan Negeri juga berharap lebih banyak kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta dapat diperkukuh bagi melengkapkan rantaian bekalan makanan serta memperkasa keselamatan makanan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Mydin Mart Taman Cahaya, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pembukaan Mydin Mart ke-14 di Taman Cahaya Ampang dilihat menyokong aspirasi Kerajaan Negeri dengan menyediakan akses terus kepada pelbagai keperluan harian untuk penduduk setempat.

Pengarah Eksekutif Tri Shaas Sdn Bhd, Shaakir Siraj bercakap kepada media ketika majlis pembukaan cawangan Mydin Mart Taman Cahaya, Ampang pada 23 Januari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pengarah Eksekutif Tri Shaas Sdn Bhd, Shaakir Siraj memaklumkan premis berkenaan menawarkan lebih 3,500 barangan merangkumi bahan mentah, barangan runcit dan keperluan harian.

“Sebagai tarikan pembukaan, kami turut menawarkan pelbagai promosi menarik antaranya ayam pada harga RM1 seekor bagi setiap pelanggan, bawang merah besar RM0.79 sekilogram, ubi kentang RM0.99 sekilogram serta mi kuning RM0.10 sepaket,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings, Datuk Ameer Ali Mydin Mohamed berkata Taman Cahaya Ampang dipilih kerana lokasinya yang strategik, berhampiran kawasan perumahan dan memudahkan pelanggan mendapatkan barangan keperluan harian.

“Kami turut menawarkan harga yang ditetapkan pada kadar berpatutan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk setempat, sekali gus memastikan barangan keperluan harian lebih mampu milik dan mudah diperoleh oleh semua golongan.

“Pembukaan pasar raya ini juga seiring dengan usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem bekalan makanan halal dan memastikan kebolehcapaian makanan berkualiti kepada rakyat,” tambahnya.