SHAH ALAM, 23 JAN: Seramai 12 keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut di Kampung Semarang dan Kampung Lalang, Dengkil minggu lalu menerima kunjungan bagi meninjau tahap kerosakan dan penyerahan bantuan awal.
Lawatan tersebut disertai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Noorazli Said, Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Selangor, Dato’ Mohd Khidir Majid serta wakil beberapa agensi berkaitan.
Noorazli memaklumkan program tersebut bertujuan memastikan keadaan mangsa ribut diberi perhatian segera, selain membolehkan pihak berkaitan melihat sendiri kesan kerosakan yang dialami penduduk.
“Program lawatan itu bertujuan melihat sendiri kesan kerosakan yang dialami penduduk selain memastikan kebajikan mangsa ribut terus diberi perhatian sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semasa lawatan itu, katanya, bantuan turut diserahkan kepada keluarga terlibat sebagai usaha meringankan beban mereka, khususnya bagi keperluan pembaikan awal kediaman yang rosak akibat ribut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ICU JPM Selangor serta semua pihak terlibat atas keprihatinan dan kerjasama dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa.
“Semoga sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga-keluarga yang terkesan,” katanya.
Tambah Noorazli, bantuan berkenaan diharap dapat membantu mempercepatkan proses pemulihan kediaman serta memastikan kebajikan mangsa ribut terus terpelihara.


