SHAH ALAM, 26 NOV: Pasukan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menyantuni penduduk terjejas banjir di Kampung Alah Batu, Kampung Changkat Bintang dan Sri Kledang, hari ini.
Penyelaras, Saifuddin Shafi Muhammad berkata kenaikan mendadak paras air menyebabkan laluan utama di kawasan berkenaan tenggelam, sekali gus menjejaskan akses penduduk kepada bekalan makanan basah.
"Sebagai langkah segera, pasukan berkenaan menyampaikan bantuan bakul makanan dan keperluan asas kepada keluarga terlibat bagi meringankan beban sementara menunggu laluan kembali pulih," katanya menerusi Facebook.
Menurut kenyataan, pasukan juga meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sri Kledang yang bersedia untuk dibuka sekiranya keadaan memerlukan.
“Pemeriksaan dilakukan bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan mangsa terjamin sekiranya pemindahan perlu dilaksanakan pada bila-bila masa,” menurut pasukan itu.
Tindakan segera itu mencerminkan keprihatinan pihak DUN dalam memastikan keperluan asas rakyat tidak terputus ketika berdepan bencana.
Pasukan berkenaan turut memberi jaminan akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi menjamin bantuan sampai kepada semua yang memerlukan.






