Pearly-Thinaah mara ke suku akhir Terbuka Indonesia

22 Jan 2026, 12:41 PM
Pearly-Thinaah mara ke suku akhir Terbuka Indonesia
Pearly-Thinaah mara ke suku akhir Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Masters Indonesia 2026 selepas menyingkirkan wakil Taiwan Lin Xiao Min-Wang Yu Qiao.

Pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta hari ini, pasangan di kedudukan kedua dunia itu mudah menewaskan Xiao Min-Yu Qiao, 21-13, 21-12 dalam masa 48 minit.

Menanti Pearly-Thinaah di suku akhir sama ada pasangan Jepun Kaho Osawa-Mai Tanabe atau gandingan Korea Selatan Kim Yu Jung-Lee Yu Lim yang akan membuat perhitungan bagi pusingan kedua malam ini.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mara ke suku akhir selepas menewaskan gandingan India Hariharan Amsakarunan-M R Arjun, 21-17, 9-21, 21-16 dalam masa 54 minit.

Cabaran getir menanti Wei Chong-Kai Wun di suku akhir esok apabila dijadual bertemu pasangan tuan rumah Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani yang juga nombor tujuh dunia.

Perseorangan wanita negara K Letshanaa juga melangkah ke suku akhir selepas mengatasi pilihan keenam kejohanan dari Kanada Michelle Li, 21-14, 21-14.

Berbeza nasib bagi perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia yang terpaksa pulang awal apabila ditewaskan pemain Thailand Panitchaphon Teeraratsakul, 21-15, 17-21, 8-21.

Beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yi turut tewas kepada pilihan kelima kejohanan dari China Guo Xin Wa-Chen Fang Hui 13-21, 19-21.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.