KSN: Gaji baharu diharap pemangkin kecemerlangan khidmat awam, belanja berhemah

22 Jan 2026, 7:41 AM
KSN: Gaji baharu diharap pemangkin kecemerlangan khidmat awam, belanja berhemah
KSN: Gaji baharu diharap pemangkin kecemerlangan khidmat awam, belanja berhemah
KSN: Gaji baharu diharap pemangkin kecemerlangan khidmat awam, belanja berhemah
KSN: Gaji baharu diharap pemangkin kecemerlangan khidmat awam, belanja berhemah

SHAH ALAM, 22 JAN: Pelaksanaan kenaikan gaji Fasa Kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) mulai hari ini diharap menjadi pemangkin kepada kecemerlangan perkhidmatan awam, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata pelarasan gaji ini merupakan usaha kerajaan menjaga kebajikan penjawat awam serta memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus diperkukuh.

“Alhamdulillah, seperti janji Kerajaan MADANI, hari ini, 22 Januari 2026, merupakan tarikh kenaikan gaji baharu bagi Fasa Kedua di bawah SSPA,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Shamsul Azri berharap gaji baharu dapat memberi kelegaan kepada penjawat awam, sambil menasihatkan mereka berbelanja berhemah dan mengutamakan simpanan.

“Semoga ia menjadi pemangkin kepada kecemerlangan perkhidmatan awam yang berterusan,” tambah beliau.

Penjawat awam yang memilih SSPA menerima pelarasan gaji Fasa Kedua pada pembayaran gaji mulai hari ini, dengan kadar kenaikan dikira berdasarkan gaji akhir pada 31 Disember 2025. Walaupun pelarasan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, pembayaran dilakukan mengikut tarikh pembayaran gaji bulan ini.

Fasa Kedua ini merupakan kesinambungan kenaikan gaji di bawah SSPA yang diumumkan pada 2024, dengan kadar keseluruhan 15 peratus bagi Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan & Profesional (P&P), serta tujuh peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Bagi Fasa Kedua, Kumpulan P&P menerima tambahan kenaikan tujuh peratus, manakala KPT menerima pelarasan tiga peratus.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember 2024, antara yang tertinggi dalam sejarah negara, sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan perkhidmatan awam Kerajaan MADANI.