KAJANG, 20 JULAI: Kerajaan akan meneliti tempoh kenaikan pangkat penjawat awam khususnya bagi sesetengah kategori yang mengambil masa sehingga lapan tahun.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang bagi memastikan proses kenaikan pangkat yang terlalu lama dapat dipercepatkan.
"Pada mesyuarat akan datang, kita perlu menyemak perkara ini. Mana-mana kenaikan pangkat yang mengambil masa terlalu lama perlu dipercepatkan.
"Itu arahan yang saya berikan kerana kita mahu komitmen menyeluruh untuk menjayakan konsep Malaysia MADANI," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah (DSIS), Universiti Islam Selangor (UIS), di sini, hari ini. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.
Anwar berkata isu berkenaan antara input yang diterima menerusi sesi libat urus bersama penjawat awam, selain kerajaan sebelum ini turut memberi perhatian terhadap kebajikan mereka termasuk aspek gaji.
Menurutnya, cadangan kenaikan gaji penjawat awam dibuat ketika negara masih berdepan kekangan kewangan serta beban hutang yang tinggi.
"Mereka sendiri tidak begitu yakin kerana mengetahui kedudukan kewangan negara dan hutang yang diwarisi.
"Apabila cadangan itu dikemukakan, saya berpendapat jumlahnya masih tidak mencukupi. Sebab itu saya menegaskan supaya kadar kenaikan itu ditambah. Bukan untuk mengungkit, tetapi itulah hakikatnya," katanya.
Beliau berkata keputusan menaikkan kadar kenaikan gaji dibuat berdasarkan kemampuan kerajaan serta keprihatinan terhadap kebajikan penjawat awam yang sentiasa dituntut meningkatkan prestasi.
"Saya tidak mahu penjawat awam hanya diminta bekerja lebih kuat dan memikul tanggungjawab lebih besar, tetapi kebajikan mereka tidak diberi perhatian. Itu yang saya mahu perbetulkan. Adakah ia sudah mencukupi? Belum," katanya.
Anwar berkata kerajaan juga tidak boleh sewenang-wenangnya menambah hutang untuk memenuhi semua tuntutan kerana ia akan meningkatkan lagi beban pembayaran faedah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepimpinan negara perlu mengutamakan aspek keselamatan dan perpaduan bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
Katanya, kemerdekaan negara dicapai hasil pengorbanan generasi terdahulu, bukannya berlaku secara spontan.
Justeru, beliau berkata budaya, jati diri, akhlak dan nilai perlu terus diperkukuh sebagai asas membangunkan negara, seiring usaha mengejar kemajuan teknologi.
Beliau turut mengingatkan bahawa rasuah, keruntuhan akhlak dan sikap tamak haloba antara cabaran utama yang perlu ditangani bagi memastikan negara terus maju.
"Saya yakin negara ini mampu mencapai tahap lebih cemerlang dan anak-anak kita dapat menikmati sistem pendidikan yang terbaik," katanya.
Anwar berkata semua pihak, termasuk penjawat awam, memikul tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan terbaik demi memastikan negara terus berada pada landasan yang betul.







