Sindiket seludup migran tumpas, tujuh warga Bangladesh ditahan

22 Jan 2026, 7:00 AM
Sindiket seludup migran tumpas, tujuh warga Bangladesh ditahan

SHAH ALAM, 22 JAN: Satu lagi rangkaian penyeludupan migran tumpas apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan tujuh warganegara Bangladesh dalam satu operasi di Taman Maluri, Kuala Lumpur pada 20 Januari lalu.

Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta AMLA JIM itu menahan lima lelaki berusia antara 27 hingga 44 tahun yang dipercayai sebagai migran diseludup.

Dalam operasi sama, dua lagi lelaki berusia 56 dan 28 tahun turut ditahan selepas disyaki berperanan sebagai pengatur sindiket, penjaga rumah penampungan serta penghantar bagi rangkaian penyeludupan terbabit.

Pemeriksaan lanjut mendapati pasport milik kesemua migran berkenaan tidak mempunyai sebarang cap pengesahan kemasukan yang sah ke Malaysia. Sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengangkutan migran turut disita.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670] serta Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].

Migran terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan Sindiket Iqbal yang ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan sebelum ini. Foto Facebook JIM

Menurut JIM, operasi tersebut dilaksanakan hasil maklumat risikan berkaitan kegiatan penyeludupan migran melibatkan warganegara Bangladesh yang memasuki negara ini secara haram melalui laluan tidak sah di negeri Kelantan.

“Premis di Taman Maluri dikenal pasti dijadikan rumah penampungan sementara bagi migran yang baru tiba dari Pantai Timur sebelum dihantar ke destinasi seterusnya,” menurut kenyataan JIM.

Hasil risikan lanjut mendapati migran terbabit mempunyai kaitan dengan rangkaian Sindiket Iqbal, iaitu sindiket penyeludupan migran yang berjaya ditumpaskan JIM sebelum ini di Kelantan dengan modus operandi menggunakan laluan darat di sekitar sempadan Malaysia–Thailand.

JIM turut memaklumkan operasi berkenaan menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“JIM tidak akan berkompromi dalam membanteras sebarang bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang kerana kegiatan ini mengancam keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.

Sehubungan itu, JIM memberi amaran tindakan undang-undang tegas akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), selain warga asing yang memasuki atau berada di negara ini tanpa kebenaran sah.

Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui saluran aduan rasmi JIM bagi membantu usaha penguatkuasaan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.