JIM Selangor kenal pasti jeti tidak berdaftar jadi laluan warga asing keluar secara haram

11 Mac 2026, 4:45 AM
JIM Selangor kenal pasti jeti tidak berdaftar jadi laluan warga asing keluar secara haram

KUALA LANGAT, 11 MAC: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor mengenal pasti jeti tidak berdaftar di pesisir pantai negeri ini yang menjadi lokasi "hotspot" warga asing keluar dari negara ini secara tidak sah menjelang Aidilfitri.

Pengarahnya Khairrul Aminus Kamaruddin berkata antara kawasan yang dikenal pasti termasuk di Sabak Bernam yang mempunyai jeti-jeti tidak berdaftar serta laluan yang tidak diwartakan.

“Terdapat beberapa kawasan berisiko yang dipercayai boleh digunakan sebagai laluan alternatif untuk membawa warga asing pulang ke negara asal tanpa melalui pintu keluar rasmi yang diwartakan.

“Mereka boleh menggunakan pintu keluar yang diwartakan seperti di Pelabuhan Klang atau menggunakan feri dari Port Dickson,” kata ditemui pemberita di program inspektorat bazar Ramadan Rimbayu di kawasan Jalan Kebun di Selangor, semalam.

Dalam perkembangan sama, pihaknya turut memantau pergerakan kenderaan yang mencurigakan dan dipercayai membawa warga asing ke lokasi tertentu.

“JIM Selangor mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak imigresen sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan melibatkan warga asing,” katanya.

Sementara itum beliau berkata sejak Program Repatriasi Migran (PRM) dilancarkan pada 19 Mei 2025, seramai 49,808 warga asing telah menyertainya bagi membolehkan mereka kembali ke negara asal tanpa dikenakan tindakan penahanan.

“Data menunjukkan peningkatan di mana Disember tahun lalu merekodkan 5,216 penyertaan, dan melonjak kepada 6,158 pada Januari, dan terus meningkat kepada 8,402 orang pada Februari lalu,” jelasnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.