Selangor–Turkiye teroka potensi kerjasama strategik sektor tenaga, keterjaminan makanan

22 Jan 2026, 2:25 AM
Selangor–Turkiye teroka potensi kerjasama strategik sektor tenaga, keterjaminan makanan
Selangor–Turkiye teroka potensi kerjasama strategik sektor tenaga, keterjaminan makanan
Selangor–Turkiye teroka potensi kerjasama strategik sektor tenaga, keterjaminan makanan

SHAH ALAM, 22 JAN: Selangor meneroka potensi kerjasama strategik dengan Turkiye dalam sektor tenaga dan keterjaminan makanan bagi menyokong pembangunan ekonomi serta menjamin kesejahteraan rakyat negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu dibincangkan menerusi kunjungan hormat Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel ke pejabatnya semalam.

Katanya, perbincangan tersebut antara lain memberi tumpuan kepada peluang kerjasama dalam sektor tenaga bersama Karpowership, sebuah syarikat tenaga dari Turkiye yang juga pengendali loji janakuasa terapung terbesar di dunia.

“Ia khususnya bagi memenuhi keperluan tenaga di hab logistik dan perindustrian utama Selangor iaitu Pelabuhan Pulau Indah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Selain sektor tenaga, Amirudin berkata perbincangan turut menekankan aspek keterjaminan makanan termasuk peranan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melalui pengoperasian Gudang Makanan Selangor sebagai simpanan strategik negeri.

“Turkiye menyatakan minat untuk bekerjasama dalam pembekalan daging dan produk agromakanan bagi menyokong kestabilan bekalan, kawalan harga dan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan,” katanya.

Menurut beliau, Selangor kekal komited membina kerjasama antarabangsa berimpak tinggi yang menyokong pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya tahan negeri serta menjamin kesejahteraan rakyat.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia dan Turkiye bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam industri strategik dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam sektor pertahanan, tenaga dan teknologi tinggi.

Menurut Anwar, Turkiye diiktiraf sebagai antara negara yang memiliki teknologi paling maju dalam bidang pertahanan, aeroangkasa dan industri nuklear.

Beliau berkata kedua-dua negara perlu mewujudkan sinergi bersama dengan memberi tumpuan kepada teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), selain memanfaatkan kelebihan Malaysia dalam sektor tenaga, semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).

Dalam perkembangan berkaitan, EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim sebelum ini berkata Selangor sedang memperluas pelaksanaan program kebun komuniti bagi mengukuhkan keterjamian makanan dan mempromosikan pertanian bandar.

Katanya, inisiatif itu selari dengan Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang memberi tumpuan kepada pengukuhan rantaian bekalan makanan daripada peringkat benih dan pembiakan hingga pemasaran.