KUALA LUMPUR 26 OGOS: Malaysia dan Turkiye terus memperkukuh kerjasama pertahanan menerusi Mesyuarat Malaysia-Turkiye Policy Talk pertama di Ibu Pejabat Kementerian Pertahanan Nasional (MoND) Turkiye di Ankara, Isnin lepas.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan mesyuarat itu dipengerusikan Ketua Pengarah Keselamatan dan Pertahanan MoND Leftenan Jeneral Ilkay Altindag, manakala delegasi Malaysia diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MINDEF, Datuk Yani Daud.
Menurut MINDEF, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada agenda berkaitan dasar dan strategi pertahanan, isu keselamatan geopolitik, perkongsian pandangan serta pertukaran maklumat dan jaringan kerjasama pertahanan.
“Kedua-dua pihak turut membincangkan kepentingan memelihara kestabilan dan keamanan serantau.
“Malaysia turut menzahirkan penghargaan peranan penting dimainkan Türkiye dalam mengekalkan keamanan di rantau Asia Barat menerusi pemeteraian perjanjian Pakatan Mekah baru-baru ini,” menurut MINDEF dalam kenyataan hari ini.
Dalam mesyuarat itu, kedua-dua pihak turut bersetuju mewujudkan Terma Rujukan (TOR) bagi Policy Talk berkenaan sebagai mekanisme untuk membincangkan instrumen kerjasama serta potensi program kerjasama pertahanan pada masa hadapan.
“Sebagai susulan, Malaysia secara rasmi menjemput Turkiye untuk menghadiri Policy Talk kedua yang akan diadakan di Kuala Lumpur tahun hadapan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pertemuan di Kuala Lumpur itu diharap akan terus mempererat hubungan strategik dan persahabatan antara Malaysia dan Turkiye seperti yang ditekankan dalam Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP).







