Hanya murid lulus saringan diagnostik layak masuk Darjah Satu pada usia enam tahun

21 Jan 2026, 7:02 AM
Hanya murid lulus saringan diagnostik layak masuk Darjah Satu pada usia enam tahun

SHAH ALAM, 21 JAN: Hanya kanak-kanak yang lulus ujian saringan diagnostik khas akan layak memasuki Tahun Satu seawal usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kemasukan itu hanya melibatkan murid yang memenuhi kriteria ditetapkan selepas menduduki ujian berkenaan.

Beliau berkata ibu bapa yang berminat perlu mendaftarkan anak mereka terlebih dahulu bagi menduduki ujian saringan diagnostik itu, yang akan diumumkan pelaksanaannya tahun ini.

“Pertama, (ibu bapa) jangan panik, itu paling penting… kena bertenang dan melihat ini sebagai suatu pembaharuan dalam sistem pendidikan. Ia bukan asing di negara lain yang sudah melaksanakannya. Sebab itu kita memulakannya dengan tidak wajib dan ia adalah pilihan.

“Walaupun pilihan, kita tidak memberikan kebebasan kepada ibu bapa begitu sahaja… ia datang dengan kebersediaan anak dan paling penting sokongan pada peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) yang kita namakan sebagai ujian diagnostik.

“Ujian diagnostik ini untuk mengenal pasti kebersediaan anak-anak itu… adakah bersedia dari segi psikoemosi, tahap kemahirannya, adakah dia boleh berada dalam kelas Tahun Satu dengan semua persiapan itu?” katanya seperti dilapor BH Online.

Bercakap selepas program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Kedah hari ini, Fadhlina berkata terdapat beberapa kriteria yang akan dinilai berdasarkan keputusan ujian diagnostik berkenaan, termasuk pencapaian had minimum ditetapkan dari segi psikoemosi dan kemahiran asas.

“Ujian itu perlu dilalui oleh anak-anak yang mahu memasuki Tahun Satu pada umur enam tahun. Ibu bapa yang tidak bersetuju pula boleh mengikut cara biasa di mana anak mereka memasuki Tahun Satu pada usia tujuh tahun. Sebab itu kita kata tidak wajib dan perlu disokong diagnostik,” katanya.