RUU Tadbir Urus AI dibangunkan, tangani salah guna teknologi

20 Jan 2026, 7:25 AM
RUU Tadbir Urus AI dibangunkan, tangani salah guna teknologi
RUU Tadbir Urus AI dibangunkan, tangani salah guna teknologi
RUU Tadbir Urus AI dibangunkan, tangani salah guna teknologi

SHAH ALAM, 20 JAN: Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) kini sedang dibangunkan bagi memastikan penggunaan teknologi tersebut dikawal selia secara beretika serta membolehkan tindakan undang-undang diambil sekiranya berlaku penyalahgunaan.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata penggubalan RUU berkenaan berteraskan prinsip utama termasuk akauntabiliti, penilaian tahap risiko serta pengenaan tanggungjawab perundangan terhadap pihak yang membangunkan dan menggunakan sistem AI.

“Antara fokus utama RUU ini ialah memastikan pihak terlibat boleh dipertanggungjawabkan secara langsung, khususnya sekiranya berlaku pelanggaran hak asasi atau kesan negatif kepada pengguna.

“Kesan buruk penggunaan AI juga akan ditangani melalui undang-undang sedia ada yang relevan mengikut konteks isu, selaras dengan mekanisme penguatkuasaan dan langkah pemulihan yang tersedia, manakala aspek tadbir urus sistem AI akan diperkukuh menerusi Akta Tadbir Urus AI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berhubung keperluan undang-undang khusus bagi menangani isu perundangan berkaitan AI, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Wilson memaklumkan seramai 170 pakar daripada pelbagai latar belakang telah dilantik untuk meneliti perkembangan dan hala tuju AI negara agar lebih beretika serta bertanggungjawab.

“Pejabat Kesejahteraan AI Kebangsaan telah menubuhkan tujuh kumpulan kerja yang dianggotai 170 pakar bagi memastikan strategi pembangunan AI negara dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

“Mereka terdiri daripada wakil sektor awam, industri swasta, ahli akademik daripada pelbagai universiti, masyarakat sivil serta pakar antarabangsa,” katanya.