SHAH ALAM, 6 MAC: Media Selangor terus memperkukuh transformasi digital dengan melaksanakan konsep bilik berita bersepadu (newsroom convergence) atau ‘super newsroom’ bagi memastikan platform medianya kekal relevan dalam era perubahan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree, berkata langkah itu dilaksanakan bagi menyesuaikan operasi organisasi dengan perubahan landskap media, terutama selepas pandemik Covid-19 yang menyaksikan peningkatan penggunaan platform digital.
Menurut beliau, perubahan tersebut turut mendorong Media Selangor mengubah pendekatan penyampaian kandungan daripada model tradisional kepada strategi yang lebih digital dan pelbagai platform.
“Walaupun Media Selangor merupakan media rasmi Kerajaan Negeri, kita perlu sentiasa beradaptasi dengan perubahan kerana Selangor ialah negeri maju dengan capaian internet yang tinggi.
“Selepas pandemik apabila orang lebih banyak mendapatkan berita melalui platform digital, kita mula mengubah hala tuju bilik berita supaya lebih bersifat digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV yang membincangkan topik Gelombang Teknologi dan Transformasi Kandungan Berita, hari ini.

Wartawan kini perlu kuasai pelbagai kemahiran
Tambah beliau, proses konvergen yang dilaksanakan menyatukan operasi bilik berita serta menumpukan kepada ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ kakitangan supaya mampu menghasilkan kandungan merentas pelbagai platform.
Menurutnya, perubahan tersebut juga menuntut wartawan dan kru media menguasai kemahiran baharu yang lebih menyeluruh.
“Sekarang seorang jurukamera atau jurugambar juga perlu mahir mengambil video, manakala wartawan pula bukan sekadar menulis berita tetapi perlu menjadi pencipta kandungan.
“Perubahan ini penting untuk memastikan kandungan yang dihasilkan kekal relevan dengan perkembangan semasa,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan penggunaan teknologi seperti AI perlu diterima dan dimanfaatkan sebagai alat yang membantu kerja media, bukannya ditolak.
“Saya selalu beritahu pasukan bahawa dalam dunia media, jika kita tidak beradaptasi kita tidak akan kekal relevan.
“Kita perlu menerima teknologi dan menggunakannya untuk membantu kerja harian termasuk aplikasi seperti AI,” katanya.
Mohamed Fareed berkata, penerimaan teknologi dalam kalangan warga Media Selangor semakin positif apabila kakitangan mula memanfaatkan pelbagai aplikasi digital dalam penghasilan kandungan.

Kandungan disesuaikan mengikut platform
Selain itu, beliau berkata Media Selangor turut mengamalkan sesi perbincangan editorial dan percambahan idea secara berkala bagi memastikan setiap kandungan yang dihasilkan mempunyai pendekatan lebih segar dan sesuai dengan tabiat pengguna media masa kini.
Menurutnya, kandungan yang dihasilkan juga disusun untuk diedarkan merentas platform termasuk portal berita, akhbar, infografik serta video di media sosial seperti Instagram dan TikTok bagi memastikan ia sampai kepada audiens yang lebih luas.
Sementara itu, Mohamed Fareed berkata tahun 2026 dijangka menjadi tahun penting bagi Media Selangor dengan pelbagai acara besar dijadualkan berlangsung di negeri itu.
Antaranya termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, Sukan Para SUKMA, Tahun Melawat Selangor 2026 serta sambutan Jubli Perak pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Menurutnya, Media Selangor kini sedang merancang liputan yang lebih kreatif dan menyeluruh bagi memastikan setiap acara berkenaan dapat disampaikan kepada masyarakat dengan pendekatan yang lebih segar dan menarik.









