SHAH ALAM, 19 JAN: Persiapan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 bagi acara e-sukan terus diperkukuh apabila Sekretariat SUKMA Selangor bersama Majlis Sukan Negeri Sabah mengadakan lawatan tapak di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Melawati, kelmarin.
Pihak berkuasa tempatan berkata lawatan delegasi bertujuan meninjau kemudahan serta memastikan kesiapsiagaan venue sebelum penganjuran temasya sukan berprestij itu.
“Lawatan ini memberi peluang kepada pihak sekretariat untuk menilai secara dekat kawasan permainan e-sukan, kemudahan sokongan serta susun atur lokasi parkir di sekitar Pusat Konvensyen MPAJ bagi memenuhi keperluan penganjuran SUKMA.
“Selain lawatan tapak, perbincangan turut diadakan mengenai pelaksanaan program-program e-sukan yang bakal dianjurkan, selari dengan usaha memperkasa pembangunan e-sukan di peringkat negeri dan kebangsaan,” menurut kenyataan MPAJ di Facebook.
MPAJ menambah lawatan itu turut mencerminkan kerjasama erat antara Selangor dan Sabah dalam aspek penyelarasan teknikal serta operasi awal, sekali gus memastikan penganjuran SUKMA memenuhi standard dan spesifikasi ditetapkan.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA dari 5 hingga 14 September. Majlis perasmian akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala majlis penutup berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Edisi kali ini menampilkan 474 acara dalam 37 jenis sukan, termasuk tujuh sukan tambahan seperti e-sukan, kriket, dan silambam, sekaligus memberi peluang lebih luas kepada generasi muda untuk menonjolkan bakat dan potensi mereka.


