SHAH ALAM, 19 JAN: Selangor bakal melaksanakan projek rintis pemasangan 150 peranti keselamatan berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memantau dan melindungi warga emas di pusat jagaan serta kediaman individu, sebagai persediaan menghadapi fasa masyarakat menua.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) Gan Pei Nei berkata projek berkenaan dijangka bermula Jun ini dengan pemasangan di premis kediaman warga emas tertakluk kepada persetujuan mereka.

“Ini adalah alat bantu pintar untuk dipasang di pusat jagaan warga emas atau premis kediaman atas persetujuan mereka, supaya risiko yang dihadapi dapat dipantau,” katanya kepada Media Selangor.
“Contohnya, jika berlaku kejadian jatuh, sistem akan mengesan dengan cepat dan bantuan boleh diberikan segera bagi meminimumkan kecederaan.”
Projek rintis ini dijalankan hasil kerjasama YAWAS dengan syarikat teknologi Korea, UNIUNI, melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai sempena Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) Oktober lalu.
Peranti berkenaan dilengkapi sistem deria inframerah dan AI untuk memantau pergerakan dan mengesan situasi berisiko.

Pei Nei menambah, teknologi pemantauan pintar itu digunakan secara meluas di negara berstatus “super-aged” seperti Jepun dan Korea Selatan bagi menyokong sistem penjagaan jangka panjang dan mengurangkan risiko kecederaan serius.
“Alat ini menghantar notifikasi segera. Di pusat jagaan, pengusaha atau pihak bertanggungjawab boleh bertindak dengan pantas. Jika di kediaman individu, keluarga terdekat atau pengawal premis boleh menerima makluman untuk segera membantu,” jelasnya.
Sebelum ini, EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata kerjasama itu membabitkan penyediaan peranti keselamatan berasaskan teknologi AI untuk warga emas di pusat jagaan dengan turut melibatkan penyertaan syarikat tempatan, Hayat Technologies Sdn Bhd.
Kerjasama ini termasuk dalam teras keempat Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor, iaitu Pelaburan dan Kerjasama. Tiga teras lain merangkumi Advokasi dan Promosi, Tatakelola dan Kawal Selia, serta Penjaga Terlatih dan Tenaga Kerja, selain Inovasi, Teknologi dan Data.
Pada November tahun lalu, Selangor melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor 2024–2030 sebagai persediaan menghadapi situasi negeri menua, apabila 8.1 peratus daripada penduduknya berumur 65 tahun ke atas.
Dasar itu memberi tumpuan kepada lima teras utama termasuk penjagaan warga emas, kanak-kanak dan OKU serta pengukuhan sokongan kepada komuniti penjaga formal dan tidak formal.





