Sindiket sabung ayam, bola golek di Klang tumpas, 72 ditahan

19 Jan 2026, 4:47 AM
Sindiket sabung ayam, bola golek di Klang tumpas, 72 ditahan

SHAH ALAM, 19 JAN: Polis Selangor menumpaskan sindiket perjudian haram melibatkan sabung ayam dan bola golek menerusi serbuan khas di kawasan kebun haram berhampiran Pangsapuri Bayu Perdana, Klang, semalam.

Serbuan kira-kira jam 5.30 petang itu dijalankan Bahagian D7 (Siasatan Am/Kongsi Gelap/Perjudian), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata 72 lelaki berusia antara 20 hingga 70 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan perjudian berkenaan.

“Tangkapan melibatkan dua individu yang bertindak sebagai penganjur serta 70 pemain terdiri daripada 41 warganegara dan 31 bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan.

Dalam operasi sama, polis merampas wang tunai RM55,075 selain pelbagai peralatan perjudian yang dipercayai digunakan dalam aktiviti haram tersebut.

Beliau berkata, pemeriksaan turut menemukan 14 ekor ayam hidup dan empat ekor ayam mati yang dipercayai digunakan dalam aktiviti sabung ayam.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini sudah beroperasi kira-kira enam bulan dengan menjadikan kebun haram yang terselindung sebagai lokasi perlawanan setiap Ahad.

“Nilai pertaruhan dilaporkan mencecah sehingga RM10,000 bagi setiap perlawanan,” katanya.

Tambah beliau, polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan perjudian haram bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah digesa tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.