Polis buka kertas siasatan program senam aerobik tidak sopan

19 Jan 2026, 12:20 AM
Polis buka kertas siasatan program senam aerobik tidak sopan

SHAH ALAM, 19 JAN: Polis membuka kertas berhubung penularan gambar dan video program senaman aerobik atau zumba yang didakwa tidak sopan, dipercayai berlangsung di Dewan Orang Ramai Bukit Badong, Bestari Jaya pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya mengesan gambar dan video berkaitan program berkenaan yang dimuat naik di sebuah laman Facebook kira-kira jam 11.13 pagi semalam.

Menurutnya, program tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi aplikasi TikTok sebelum rakaman gambar serta video berkenaan tular di media sosial.

“Hasil siasatan awal mendapati program zumba itu diadakan dengan tema ‘Back To School’.

“Bagaimanapun, dalam rakaman yang tular, terdapat seorang individu bertudung dan berpakaian seragam sekolah yang didapati tidak memakai kain, selain seorang lagi hanya memakai seluar legging,” katanya dalam kenyataan.

Azaharudin berkata, siasatan lanjut mendapati salah seorang peserta dipercayai menanggalkan kain sekolah yang dipakai bagi memudahkan pergerakan ketika program berlangsung.

"Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular beberapa gambar di laman sosial memaparkan wanita berpakaian seragam sekolah melakukan aktiviti senaman aerobik dalam keadaan tidak sopan.

Menerusi hantaran itu, rata-rata pengguna mengecam perubatan tersebut selain menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

Semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan sedang menyiasat rakaman tersebut dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.