SHAH ALAM, 18 JAN: Pembinaan jambatan dua hala di Kampung Bagan Pasir, Tanjong Karang dijangka siap Ogos ini dan ia memberi manfaat kepada sehingga 15,000 penduduk.
EXCO Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata, projek bernilai RM10 juta itu dilaksanakan bagi memperkukuh tahap keselamatan jalan raya dan melancarkan pergerakan harian penduduk.
“Jambatan ini menghubungkan Kampung Bagan Pasir dengan beberapa kampung tradisi sekitar dan menjadi laluan penting bagi aktiviti seharian masyarakat setempat.
“Kerja pembinaan berjalan mengikut jadual serta menepati piawaian keselamatan, namun terdapat sedikit lanjutan tempoh susulan keperluan mengalihkan paip air,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Beliau yang juga wakil rakyat Sekinchan berkata, kerja pembaikan laluan susur naik dan turun jambatan sementara telah dilakukan bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna sepanjang tempoh pembinaan.
"Projek ini diharap dapat memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat, selain merancakkan pembangunan sosioekonomi kawasan," ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada atas komitmen, kerjasama serta usaha berterusan dalam memastikan projek itu berjalan lancar mengikut perancangan.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada JKR Selangor atas komitmen, kerjasama dan usaha berterusan dalam memastikan projek ini berjalan dengan lancar," katanya.


