SHAH ALAM, 18 JAN: Mangsa kebakaran empat rumah teres satu tingkat di Taman Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu (KKB) malam tadi ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao berkata keutamaan ketika ini adalah penyelarasan bantuan asas termasuk membantu mangsa menguruskan pembaharuan dokumen penting dengan kerjasama jabatan berkaitan.
“Pegawai Daerah, Yuhanas Auree Kamaruddin memaklumkan pembukaan PPS sekitar jam 11.45 malam.
"Ketika ini kita sedang memfasilitasi jabatan terlibat bagi membantu mangsa mendapatkan semula dokumen penting yang hilang atau rosak," katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Menurut beliau, semakan awal mendapati kebanyakan mangsa kehilangan pakaian serta barangan keperluan harian, justeru bantuan segera sedang diselaraskan bagi memenuhi keperluan asas tersebut.
"Keutamaan ketika ini adalah pakaian dan barangan harian kerana ada mangsa yang datang ke PPS tanpa sebarang kelengkapan," jelasnya.
Sock Tao berkata, bantuan kecemasan termasuk bantuan tunai masih dalam peringkat perbincangan bersama ahli majlis bagi menentukan jumlah yang boleh disalurkan pada fasa awal.
"Ini kerana dalam jangka masa terdekat, mangsa juga perlu memikirkan soal sewaan rumah," katanya.
Tambah beliau, bantuan lain termasuk kerja-kerja membaiki rumah turut dipertimbangkan dan akan diteliti selepas penilaian menyeluruh sebelum sebarang pengumuman lanjut dibuat.
Dalam kejadian itu, empat buah rumah teres satu tingkat dilaporkan musnah, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.39 malam, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi pada jam 9.57 malam.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.25 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.28 pagi, melibatkan 33 anggota daripada beberapa balai bomba serta pasukan bomba sukarela.


