AMPANG JAYA, 18 JAN: Hulu Selangor dipilih sebagai lokasi penganjuran sambutan Hari Orang Asli Sedunia 2026 yang akan berlangsung pada 9 Ogos ini.
EXCO Hal Ehwal Orang Asli, V Papparaidu berkata penganjuran itu merupakan kali ketiga Selangor menjadi tuan rumah selepas Serendah dan Sepang.
Menurutnya, sambutan tersebut akan dilaksanakan secara besar-besaran dengan penglibatan semua wakil komuniti Orang Asli di negeri ini.
“Kita bercadang nak buat Hari Orang Asli Sedunia pada 9 Ogos di Hulu Selangor. Ini kali ketiga kita buat. Sebelum ini di Serendah, Sepang dan kali ini di Hulu Selangor.
“Selangor ada lebih 23,000 penduduk Orang Asli di Selangor melibatkan 74 kampung. Kita perlu beri peluang kepada mereka, bukan sahaja pelancongan tetapi juga pendidikan,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas menghadiri Pesta Ponggal Peringkat Selangor 2026 yang diadakan di Dewan Dato’ Ahmad Razali di sini, malam tadi, yang disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Papparaidu berkata, antara pengisian utama sambutan itu adalah aktiviti kebudayaan yang bertujuan mengangkat budaya serta identiti masyarakat Orang Asli kepada masyarakat umum.
“Ia lebih kepada pameran dan persembahan kebudayaan. Masih ramai lagi masyarakat yang belum kenal dengan komuniti Orang Asli, jadi kita perlu tonjolkan mereka ke hadapan supaya anak muda kita dapat belajar,” katanya.
Sambutan Hari Orang Asli Sedunia mula diraikan secara rasmi pada 1994 selepas menerima pengisytiharan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ia disambut sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan, hak dan budaya masyarakat Orang Asli, selain bertujuan meningkatkan kesedaran serta mengiktiraf peranan mereka di peringkat global.


