Bapa hilang dihanyutkan arus Sungai Lebir selepas selamatkan anak

17 Jan 2026, 2:15 PM
Bapa hilang dihanyutkan arus Sungai Lebir selepas selamatkan anak

SHAH ALAM, 17 JAN: Seorang bapa dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus Sungai Lebir ketika cuba menyelamatkan anaknya yang hampir lemas dalam kejadian petang tadi.

Dalam detik cemas itu, Mohamad Fakarudin Abdul Halim@Awang, 40, berjaya menolak anak lelakinya yang berusia tujuh tahun ke tebing sungai, sebelum dia sendiri tenggelam dan dibawa arus deras.

Kejadian berlaku ketika mangsa bermandi-manda bersama anaknya dan ahli keluarga lain di sungai berkenaan, lapor Berita Harian.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Pegawai Bomba Kanan I Nik Mohd Fakri Md Nawi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.04 petang.

Beliau berkata lapan anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 64 kilometer dari balai.

“Mangsa dilaporkan sempat menyelamatkan anaknya, namun tenggelam dan dihanyutkan arus sungai yang deras serta dalam,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan pencarian di permukaan air, namun mangsa masih belum ditemui setakat ini.

Operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada jam 7.46 malam atas faktor keselamatan dan akan disambung semula pada pagi esok.