SHAH ALAM, 17 JAN: Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) menarik balik kelayakan penerimaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diberikan kepada seorang lelaki yang mengaku memiliki enam rumah sewa.
MoF berkata lelaki itu turut disiasat mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana disyaki gagal mengisytiharkan pendapatan sewaan, lapor Buletin TV3.
“Siasatan lanjut telah dijalankan dan mendapati bahawa pemilikan hartanah tersebut adalah benar.
“Berdasarkan maklumat direkodkan sistem e-Duti Setem Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), hartanah berkenaan didaftarkan atas nama penerima dan pasangan beliau.
“Berdasarkan siasatan dan penemuan ini, kelulusan STR dan SARA beliau telah ditarik balik," katanya.
Terdahulu, lelaki berkenaan menerusi media sosial mendedahkan beliau menerima bantuan STR dan SARA berjumlah RM1,900 setahun, selain mengaku memiliki enam hartanah sewaan yang dibeli sejak 2007.
Sebelum ini, MoF mengingatkan semua pemohon agar memberikan maklumat yang tepat dan benar dalam permohonan bantuan kerajaan.
Sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil, selain kerajaan berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan.


