SHAH ALAM, 16 JAN: Keputusan Kerajaan Selangor menolak permohonan Lesen Pendudukan Sementara bagi kegunaan komersial, termasuk cadangan pembinaan eskalator di Gua Batu Caves dibuat berdasarkan ketetapan perlembagaan.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata segala keputusan dibuat dengan mengambil kira peraturan tanah di bawah Kanun Tanah Negara.
“Jadi kita tidak menghalang tindakan mahkamah yang mahu difailkan beberapa pihak berkenaan isu ini, malah kita serahkan semuanya kepada mahkamah untuk putuskan.
“Pada masa sama, saya tidak mahu memanjangkan isu ini memandangkan sambutan perayaan Thaipusam semakin hampir. Kita hentikan segala percanggahan dan serah kepada mahkamah,” katanya pada sidang media hari ini.
Sementara itu, peguam mewakil Papparaidu berkata pihaknya sudah membuat tuntutan balas kepada pihak yang mahu membawa perkara itu kepada pihak mahkamah selain terbuka untuk membincangka perkara itu dengan lebih lanjut.
“Seperti diarahkan anak guam, kami bersedia untuk menyelesaikan perkara ini dengan lebih baik dan tidak berhasrat untuk memanjangkannya,” kata Kokila Vaani Vadiveloo.
Minggu lalu, Papparaidu menafikan dakwaan bahawa pentadbiran ini tidak serius menyelesaikan cadangan pembinaan eskalator dan pembangunan berkaitan di kawasan Batu Caves, seperti didakwa oleh Tan Sri Nadaraja baru-baru ini.
Jelasnya dakwaan tersebut tidak tepat, mengelirukan serta tidak mencerminkan kedudukan sebenar usaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu berkenaan.
Terdahulu beliau memaklumkan Selangor menolak permohonan yang dibuat atas nama individu selepas meneliti keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-4/2025 pada 6 Februari 2025.
Ia berikutan permohonan dikemukakan atas nama individu terbabit tanpa pendaftaran persatuan, sekali gus bercanggah dengan peraturan bawah Kanun Tanah Negara.



