SHAH ALAM, 10 JAN: Kerajaan Negeri Selangor menafikan dakwaan bahawa ia tidak serius menyelesaikan isu cadangan pembinaan eskalator dan pembangunan berkaitan di kawasan Batu Caves, seperti yang didakwa oleh Tan Sri Nadaraja baru-baru ini.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, Papparaidu Veraman berkata, dakwaan tersebut adalah tidak tepat, mengelirukan serta tidak mencerminkan kedudukan sebenar usaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu berkenaan.
Menurutnya, kenyataan media yang dikeluarkan pada 30 Disember lalu telah menimbulkan salah faham terhadap peranan kerajaan, termasuk dakwaan kononnya persetujuan melibatkan Perdana Menteri, Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri tidak membantu proses kelulusan pembinaan eskalator serta kemudahan lain seperti dewan serbaguna di Batu Caves.
"Sehubungan itu, saya sebagai EXCO Kerajaan Negeri telah menerima banyak panggilan daripada pihak media dan orang awam yang memohon penjelasan serta pengesahan terhadap dakwaan tersebut kerana ia berpotensi menjejaskan reputasi kerajaan dan mengelirukan masyarakat,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Papparaidu menegaskan, sebarang kelulusan projek pembangunan, khususnya di kawasan sensitif seperti Batu Caves, tertakluk kepada prosedur undang-undang, perancangan teknikal serta penilaian pihak berkuasa berkaitan.
"Adalah ditegaskan bahawa sebarang kelulusan projek pembangunan, termasuk pembinaan eskalator di kawasan sensitif seperti Batu Caves, tertakluk kepada prosedur undang-undang, perancangan teknikal dan penilaian pihak berkuasa berkaitan, termasuk aspek keselamatan awam, status warisan, alam sekitar dan kesesuaian perancangan guna tanah.
"Semua pembangunan, termasuk pembinaan kedai dan pembangunan komersial, mesti mempunyai kelulusan merancang dan pelan bangunan yang sah daripada pihak berkuasa tempatan," jelasnya.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa kewujudan perintah lama mahkamah sejak 1930 boleh digunakan sebagai alasan untuk mengelak pematuhan kepada proses kelulusan semasa tanpa penelitian undang-undang yang sah.
Dalam usaha memudah cara pelaksanaan projek eskalator, Papparaidu berkata beliau telah mencadangkan agar pihak pengurusan Kuil Batu Caves didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Saya telah mencadangkan supaya pihak pengurusan Kuil Batu Caves didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi membolehkan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa teknikal memberi bantuan serta memudah cara semua aspek teknikal supaya cadangan pembinaan eskalator dapat dilaksanakan secara teratur dan mengikut undang-undang, selaras dengan persetujuan prinsip antara YAB Menteri Besar Selangor dan pihak pengurusan Kuil Batu Caves pada 4 Februari 2025," katanya.
Mengulas isu permohonan tanah secara Lesen Pendudukan Sementara (TOL), Papparaidu menjelaskan permohonan tersebut ditolak kerana dikemukakan atas nama individu dan tidak memenuhi syarat permohonan yang ditetapkan dan ia telah dijelaskan dalam satu sesi bersama media di Majlis Perbandaran Selayang bersama Yang Dipertua.
"Saya telah memaklumkan bahawa saya akan mendapatkan dan mengemukakan dokumen serta keterangan lanjut dengan kebenaran YAB Menteri Besar sekiranya perlu," katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan menerima Surat Tuntutan (Letter of Demand) daripada firma guaman Tetuan ADR & Co pada 7 Januari lalu, yang mewakili Tan Sri Nadaraja dan menuntut bayaran RM1 juta atas dakwaan mencemarkan nama baik.
"Saya menegaskan bahawa semua kenyataan saya dibuat dalam kapasiti rasmi, berlandaskan fakta, kepentingan awam serta tanggungjawab untuk memberi penjelasan yang tepat kepada masyarakat, dan bukan bertujuan untuk mencemarkan mana-mana pihak," katanya.
Beliau sekali lagi menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan sebarang pembangunan di Batu Caves dilaksanakan secara berhemah, teratur dan mematuhi undang-undang.



