Letupan gas di HELP University: Tiga mangsa masih terima rawatan rapi

16 Jan 2026, 6:59 AM
Letupan gas di HELP University: Tiga mangsa masih terima rawatan rapi

SHAH ALAM, 16 JAN: Tiga mangsa letupan di bangunan Universiti HELP, Bukit Damansara, Isnin lalu masih berada di bawah pemantauan rapi pihak hospital.

Ketua Polis Kuala Lumpur berkata tiga mangsa yang masih menjalani rawatan rapi itu termasuk dua pelajar universiti terbabit iaitu Reeya Kaur Thandal, 19, dan Lya Izryn Irazeqh, 18.

Menurut Datuk Fadil Marsus, Reeya masih dalam keadaan koma dan kini dirawat di High Dependency Ward (HDW) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami pendarahan dalam otak dan retak tengkorak.

"Setakat hari ini, mangsa masih belum sedarkan diri dan berada di bawah pemantauan rapi pihak perubatan.

"Manakala seorang lagi pelajar, Lya Izryn yang mengalami patah pinggang dan sebelum ini dirawat di HKL, kini sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Pantai Kuala Lumpur sejak Selasa lalu.

"Semalam, mangsa selesai menjalani pembedahan gigi dan berada dalam keadaan stabil. Dia dijadualkan menjalani pembedahan pinggang pada jam 2 petang esok," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Fadil berkata seorang lagi mangsa yang masih menjalani rawatan rapi adalah Liew Ying Chen, 54, yang sedang menjalani rawatan rapi di HKL.

"Mangsa dimasukkan ke wad dengan tahap kecederaan kebakaran sebanyak 24 peratus sert terdapat serpihan besi dalam badan. Mangsa telah sedar dan stabil serta berada di bawah pemantauan rapi doktor untuk rawatan susulan," katanya.

Sementara itu, katanya seorang lagi mangsa iaitu pekerja kantin di universiti terbabit dikenali sebagai Muhammad Rizki Rudi Hartono, berusia 22 tahun dan berasal dari Indonesia dibenarkan keluar Hospital Sungai Buloh, semalam.

"Mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan sudah dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh kira-kira jam 2 petang semalam dan berada dalam keadaan baik," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi Isnin lalu, seorang lelaki disahkan meninggal dunia, manakala sembilan lagi termasuk empat penuntut cedera.

Mangsa maut dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, 24, yang juga pelajar tahun tiga kursus Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Letupan itu dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan penyaman udara yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti berkenaan.