KUALA LUMPUR, 13 JAN: Tiga mangsa yang cedera dalam insiden letupan di sebuah universiti di ibu negara semalam, masih dirawat di hospital.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata mangsa pertama seorang kontraktor wanita berusia 54 tahun, kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami kecederaan akibat serpihan besi dalam badan serta melecur.
Bagaimanapun, katanya, mangsa dilaporkan stabil dan berada di bawah pemantauan doktor.
Fadil berkata mangsa kedua, seorang pelajar wanita berusia 19 tahun, masih tidak sedarkan diri dan menerima rawatan rapi di hospital sama akibat pendarahan dalam otak serta retak pada tengkorak.
"Mangsa ketiga, seorang lelaki warga Indonesia berusia 22 tahun iaitu pekerja kantin di universiti terbabit dirawat di Hospital Sungai Buloh untuk pemantauan walaupun tidak mengalami kecederaan serius.
"Enam mangsa lain telah dibenarkan pulang," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian dan pihak polis akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Semalam, seorang lelaki disahkan meninggal dunia ketika dirawat di HKL, manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan gas pendingin hawa di sebuah universiti swasta kira-kira jam 11.40 pagi.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, 24, pelajar tahun tiga kursus Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
Fadil dilaporkan berkata, letupan dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan pendingin hawa bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti berkenaan.
- BERNAMA


