SHAH ALAM, 16 JAN: Polis masih mengesan sebuah kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kes langgar lari sehingga meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Jalan Sungai Masin, Batang Kali, pada pagi Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin, berkata siasatan awal mendapati mangsa, seorang lelaki berusia 23 tahun, menunggang motosikal dari arah Genting Highlands menghala ke Batang Kali sebelum dirempuh sebuah kenderaan dari arah bertentangan kira-kira jam 8.30 pagi.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang bekerja sebagai jurujual perumahan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi proses bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nurul Anati Zulkifli di talian 03-6064 1222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.


