Dua beradik maut dirempuh SUV, disyaki langgar lari

16 Mei 2026, 4:18 AM
Dua beradik maut dirempuh SUV, disyaki langgar lari
Dua beradik maut dirempuh SUV, disyaki langgar lari

SHAH ALAM, 16 MEI: Dua beradik maut, manakala seorang remaja cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian dipercayai langgar lari di Jalan Pekan Baru, Bandar Baru Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata mangsa yang maut ialah wanita tempatan berusia 57 dan 62 tahun.

Menurut beliau, seorang lagi mangsa yang cedera ialah remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga anak kepada salah seorang mangsa.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7.40 malam apabila sebuah SUV berwarna perak dari arah Jalan Meru menuju Bandar Baru Klang dipercayai hilang kawalan.

“Kenderaan itu kemudian merempuh tiga pejalan kaki yang berada di bahu kiri jalan sebelum pemandunya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata dua wanita terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Sementara itu, remaja yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Menurut Vijaya Rao, tiga mangsa dipercayai keluar dari rumah mereka di kawasan berhampiran dan sedang berjalan menuju ke lokasi makan malam ketika kejadian berlaku.

Setakat ini, polis masih belum merekodkan keterangan daripada remaja terbabit berikutan keadaannya yang masih menerima rawatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.