'Kuat mana pun api, al-Quran dan air zam-zam kekal utuh'

15 Jan 2026, 1:45 PM
'Kuat mana pun api, al-Quran dan air zam-zam kekal utuh'

SHAH ALAM, 15 JAN: Sebotol air zamzam dan senaskhah al-Quran milik seorang warga emas berada dalam keadaan masih baik walaupun sebuah rumah dan lima kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Kubur Maras, Langgar, Kota Bharu, hari ini

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku ketika penghuni rumah, Siti Haminah Daud, 64, sedang bersiap untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat Zuhur.

Pesara kerajaan itu menyifatkan kejadian al-Quran dan air zamzam yang tidak hangus sebagai tanda kebesaran Allah SWT, sekali gus memberi keinsafan kepada dirinya serta ahli keluarga.

“Sebab itu kita tak boleh tinggal al-Quran, Tuhan nak tunjuk, kuat mana pun api, al-Quran itu selamat. Saya selalu guna al-Quran itu, harap jadi pengajaran juga kepada orang lain.

“Air zamzam itu pun dari Makkah, tempat molek dan saya sakit ni memang amalkan minum,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian seperti dilapor Sinar Harian.

Menceritakan detik cemas tersebut, Siti Haminah berkata rumahnya terputus bekalan elektrik sejak jam 3 pagi dan dia bersendirian ketika kejadian berlaku kerana suaminya, Syed Abdul Hamid Syed Ahmad, 77, keluar menunaikan solat berjemaah di masjid berhampiran.

Siti Haminah Daud, 64, menceritakan detik cemas dilaluinya ketika rumah separuh kayu dan separuh batu itu dijilat api sepenuhnya. Foto Facebook Pusat Khidmat DUN Tanjong Mas - Prihatin Berkebajikan

“Saya pula turun ke dapur untuk ke bilik air ambil wuduk, tiba-tiba dengar bunyi meletup dan nampak api menyala di kotak fius.

“Saya terus menjerit ‘tolong… api… api…’ sebelum anak jiran datang bantu dan bawa saya keluar dari rumah,” katanya.

Ibu kepada tiga anak yang mengalami masalah sakit tulang belakang itu hanya sempat mencapai beg tangan sebelum rumah separuh kayu dan separuh batu itu dijilat api sepenuhnya.

Kebakaran tersebut turut memusnahkan lima kenderaan, termasuk tiga kereta antik milik suaminya iaitu Fiat 124S (1969), Ford Escort GT (1976) dan Honda Life 360, selain sebuah van Daihatsu serta Honda CRV.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBKI) Ridzuan Baharuddin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.09 petang.

“Seramai 18 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu bersama BBP Kota Darul Naim dengan empat jentera dikejarkan ke lokasi.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.45 petang,” katanya.