Hari Keselamatan Internet 2026 fokus penggunaan teknologi, AI secara selamat

14 Jan 2026, 1:00 PM
Hari Keselamatan Internet 2026 fokus penggunaan teknologi, AI secara selamat

SHAH ALAM, 14 JAN: Sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 pada 8 Februari ini bakal menjadi platform komuniti bagi meningkatkan kesedaran penggunaan Internet, teknologi pintar dan kecerdasan buatan (AI) secara selamat serta bertanggungjawab.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan program berkenaan akan berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, selain disambut setiap tahun di lebih 170 negara.

Menurut MCMC, sambutan itu bertujuan mempromosikan penggunaan internet yang selamat, positif dan beretika, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan keluarga.

“Orang ramai dijemput hadir untuk bersama-sama memeriahkan Hari Keselamatan Internet 2026 dan memainkan peranan dalam mewujudkan ekosistem internet yang lebih selamat untuk semua,” menurut kenyataan itu.

Bertemakan ‘Teknologi Pintar, Pilihan Selamat (Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab)’, program berkenaan menekankan kepentingan membuat pilihan digital yang bijak selari dengan perkembangan landskap digital yang semakin pesat.

Orang ramai dijemput memeriahkan sambutan Hari Keselamatan Internet 2025 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 8 Februari ini.

Sepanjang penganjuran, pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran interaktif keselamatan internet, sesi pocket talk bersama pakar, aktiviti komuniti, demonstrasi teknologi pintar serta pelancaran rasmi Kempen Internet Selamat 2026.

Sambutan itu turut dimeriahkan dengan konsert mini artis tempatan sebagai pendekatan santai bagi menarik penglibatan masyarakat pelbagai peringkat umur.

Dalam pada itu, MCMC memaklumkan Hari Keselamatan Internet 2026 menyokong usaha pembentukan Masyarakat MADANI Digital melalui gabungan pendidikan, penglibatan dan kesejahteraan.

Usaha berkenaan bertujuan melahirkan masyarakat yang berilmu, berdaya tahan, berdaya saing serta bertanggungjawab dalam persekitaran dalam talian.