Raja Muda berkenan sempurnakan majlis tamat pengajian Tahfiz Istana Alam Shah

14 Jan 2026, 9:43 AM
Raja Muda berkenan sempurnakan majlis tamat pengajian Tahfiz Istana Alam Shah
Raja Muda berkenan sempurnakan majlis tamat pengajian Tahfiz Istana Alam Shah
Raja Muda berkenan sempurnakan majlis tamat pengajian Tahfiz Istana Alam Shah

KLANG, 14 JAN: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan menyempurnakan penyerahan sijil tamat pengajian kepada sembilan pelajar Program Pengajian Tahfiz Istana Alam Shah bagi sesi 2021 hingga 2025.

Penyerahan sijil tersebut disempurnakan oleh Tengku Amir Shah dalam satu majlis di Istana Alam Shah, di sini yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Dato’ Setia Salehuddin Saidin.

Program Pengajian Tahfiz Istana Alam Shah diwujudkan bersempena penubuhan Masjid Istana Diraja pada 2011 menerusi kerjasama Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor.

Sejak diperkenalkan, program tersebut telah melahirkan beberapa kumpulan huffaz apabila kumpulan pertama melibatkan 12 pelajar bagi tempoh 2011 hingga 2016, diikuti kumpulan kedua seramai 10 pelajar dari 2016 hingga 2020.

Pengambilan pelajar dibuat setiap lima tahun sekali, melibatkan kira-kira 10 anak jati Selangor yang mempunyai latar belakang akademik cemerlang serta sahsiah terpuji.

Sepanjang tempoh pengajian, para pelajar mengikuti kelas hafazan al-Quran di Masjid Istana Diraja pada waktu malam dan selepas Subuh, manakala pembelajaran akademik pula dijalankan di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor, Alam Impian, Shah Alam.