SHAH ALAM, 20 FEB: Setiap lima tahun, hanya sekitar 10 remaja lelaki terpilih masuk ke kawasan Istana Alam Shah, Klang. Bukan sebagai tetamu, tetapi pelajar Pengajian Tahfiz Masjid Istana Diraja.
Di sinilah mereka menghafaz al-Quran, menyusun cita-cita dan membentuk sahsiah, dalam satu sistem pendidikan yang dirintis atas ilham Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor sejak 2011.
Lebih sedekad berlalu, seramai 32 alumni dilahirkan. Ada yang bergelar doktor, akauntan, jurutera dan guru, namun permulaan mereka sama, menjadi huffaz demi keseimbangan antara agama dan akademik.

Pengetuanya Dato' Mohd Rasid Mahful berkata hasrat Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sejak awal jelas, iaitu melahirkan generasi al-Quran yang tidak terpisah daripada arus pendidikan perdana.
“Mereka bukan sahaja mampu menjadi huffaz, malah cemerlang dalam akademik. Ramai dalam kalangan mereka mencatat keputusan yang baik dan pada masa sama menghafaz al-Quran dengan sempurna.
“Apabila tamat pengajian, mereka menyambung pelajaran ke universiti tempatan dan luar negara mengikut minat masing-masing,” katanya kepada Media Selangor.
Saringan ketat, disiplin tinggi
Pengambilan pelajar tidak pernah dibuat secara besar-besaran. Setiap lima tahun, hanya sekitar 10 orang dipilih, dengan kesemuanya disaring ketat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Keutamaan diberikan kepada pelajar lelaki berusia 13 tahun yang aktif dalam kokurikulum, mampu membaca al-Quran dengan lancar serta mempunyai vokal yang baik.

“Hanya seorang diambil bagi setiap daerah, kecuali Klang dua orang. Kita memang hadkan jumlah supaya tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada mereka,” jelas Mohd Rasid.
Jumlah yang kecil itu juga penting bagi menjaga suasana pembelajaran serta privasi kawasan istana memandangkan mereka menetap di situ sepanjang tempoh pengajian.
Hari-hari pelajar tahfiz ini bermula sebelum Subuh. Sesi hafazan dilakukan di Masjid Istana Diraja, diikuti solat berjemaah. Seusai itu, mereka bersiap untuk ke Maahad Tahfiz Islam Selangor di Alam Impian bagi mengikuti kelas akademik sehingga petang.
Menjelang Maghrib, mereka kembali berkumpul untuk ulangan bacaan al-Quran. Waktu malam pula diperuntukkan untuk hafazan tambahan atau menyiapkan tugasan sekolah.
“Walaupun menekankan pembelajaran al-Quran dan agama, mereka turut dihantar ke kelas tambahan. Kita pilih guru berpotensi untuk mengajar subjek agak susah antaranya sains dan matematik tambahan bermula tingkatan tiga,” katanya.

Guru-guru yang dipilih juga dalam kalangan yang berpengalaman dan berkeupayaan membimbing pelajar menghadapi mata pelajaran mencabar supaya mereka tidak ketinggalan.
Sentuhan dan perhatian Tuanku
Keistimewaan lain yang dimiliki perhatian langsung Tuanku Sultan terhadap perkembangan pelajar. Perhatian itu menjadi suntikan motivasi buat pelajar untuk mengekalkan prestasi dan disiplin.
Menurut Mohd Rasid, Baginda sering bertanya khabar dan mengutamakan kehadiran mereka dalam program tertentu, khususnya berkaitan keagamaan.
“Mereka rapat dengan keluarga diraja. Tuanku berbangga memperkenalkan mereka kepada tetamu istana. Apa sahaja program keagamaan, mereka antara kumpulan yang akan dijemput,” katanya.

Sultan Sharafuddin turut berkenan perihal sejarah penubuhan pengajian tahfiz itu menerusi buku terbitan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
Perjalanan pelajar generasi pertama hingga ketiga digambarkan selain kejayaan yang dikecapi mereka. Turut dimuatkan kerjasama pelbagai pihak yang menyokong pengajian tahfiz berkenaan.
“Asalnya mahu terbitkan buku yang ringkas namun ada yang cadangkan supaya idea ini diangkat kepada Tuanku. Jadi melalui beberapa pertemuan, perbincangan, buku ini dapat diterbitkan dan bakal dilancar tidak lama lagi.
“Segala gambar, aktiviti pelajar, pencapaian generasi pertama, kedua turut dimuatkan dalam buku itu. Jadi kita boleh lihat perkembangan tahfiz itu dari semasa ke semasa,” kata Mohd Rasid.












