SHAH ALAM, 14 JAN: Suami isteri ditemui meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayu di Sri Aman pagi tadi dengan kesan kecederaan serius di bahagian tubuh.
Mayat pasangan berkenaan ditemui oleh anak mereka yang membuat pemeriksaan selepas menyedari ibu bapanya tidak keluar dari bilik.
Mangsa lelaki berusia 45 tahun dilaporkan bertugas sebagai guru besar di sebuah sekolah di Lubok Antu, manakala isterinya, 44, merupakan seorang jururawat.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan dua individu yang tidak sedarkan diri pada jam 6.55 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman bersama pegawai perubatan dari Hospital Sri Aman segera dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat itu.
“Pemeriksaan awal mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Zainal berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis kini giat mengumpul bukti serta mendapatkan keterangan saksi.
“Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Kalang di talian 019-331 7785, atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Sri Aman, atau mana-mana balai polis berdekatan.
“Kerjasama orang awam amat penting bagi membantu siasatan dan memastikan keselamatan komuniti terus terpelihara,” katanya.


