Polis rampas rokok tidak bercukai RM820,200, seorang lelaki tempatan ditahan

30 Sep 2026, 2:46 PM
Polis rampas rokok tidak bercukai RM820,200, seorang lelaki tempatan ditahan

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai dan merampas pelbagai barangan dianggarkan bernilai RM820,200 dalam serbuan Ops Taring Alpha 1 di Shah Alam hari ini.

Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Datuk Mohd Zaki Ashar berkata operasi kira-kira 8 pagi di sebuah premis di Kampung Subang Baru itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun.

"Dalam serbuan itu, pasukan operasi merampas 1,350 karton rokok jenama Canyon Premium dan Menthol dianggarkan bernilai RM739,200.

"Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard, berserta kunci kenderaan dan sebuah telefon bimbit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata serbuan oleh WCB/PSK, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman itu adalah hasil risikan serta pemantauan berterusan terhadap sindiket yang menyasarkan pasaran tempatan.

Mohd Zaki berkata hasil soal siasat awal mendapati suspek yang berperanan sebagai penghantar rokok disyaki terlibat dalam aktiviti terbabit sejak kira-kira dua tahun lalu.

Beliau berkata suspek yang mendakwa menerima bayaran RM5,000 sebulan turut mengaku mendapat arahan daripada seorang lelaki warga Bangladesh bagi mengedarkan rokok berkenaan.

"Tangkapan dan barangan rampasan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September tahun ini, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 268 serbuan di seluruh negara dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM330.69 juta.

Menurut Mohd Zaki, 455 individu turut ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak bercukai, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta operasi berkaitan e-sisa (e-waste).

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.